BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas dakwaan bahawa pelaburan asing di negara ini terjejas berikutan tindakannya yang sering ‘membantai’ kerajaan.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata perkara itu tidak didorong dengan tindakan pihak tertentu mengkritik kerajaan dan ia dibuktikan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).
“Tak semestinya pelabur asing tak masuk hanya sebab kerajaan dibantai.
“Pelaburan asing tetap konsisten tinggi, malah paling tinggi dalam sejarah serta antara paling tinggi di ASEAN pada masa kerajaan BN dibantai oleh pembangkang tiap-tiap hari,” katanya menerusi Facebook.
Najib berkata, ketika itu pembangkang agresif ‘membantai’ BN termasuk menggelarnya sebagai kleptokrat, pembunuh dan penyangak.
Katanya, malah negara ini turut digelar bankrupt oleh pembangkang termasuk penganjuran demonstrasi besar-besaran yang sering diadakan ketika itu.
“Pembangkang dengan Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) siap bekerjasama dengan Soros, media dan kerajaan asing untuk bantai kerajaan BN masa itu.
“Ingat kerajaan BN masa saya PM tidak dibantai ke? Pelabur lagi tak suka kerajaan yang tak stabil, tak kompeten, tak dipilih Rakyat.
“(Selain) perbelanjaan kerajaan tidak mengikut kelulusan parlimen dan asyik melanggar had hutang dan demokrasi serta perlembagaan digantung,” katanya.
Semalam, Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, meminta Najib agar memberi pandangan positif kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memulihkan ekonomi dan membantu menarik pelabur asing ke negara ini.
Shahidan berkata, pandangan positif itu mampu menjadikan kerajaan sedia ada bertambah baik, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur.
“Saya minta bekas bos saya dan kawan baik saya Datuk Seri Najib Tun Razak supaya beri pandangan positif kepada kerajaan dan mengambil daya usaha bersama untuk menarik pelabur.
“Sebab dia bekas Perdana Menteri, sudah pasti hubungan yang baik dengan pelabur-pelabur luar negara. Jadi bagi sumbangan yang boleh menggalakkan supaya pelabur datang,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/18/berilah-pandangan-yang-baik-kepada-kerajaan-shahidan/\

