
AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata tidak elok bagi seorang menteri menaiki pesawat peribadi walaupun ia ditaja.
Beliau berkata demikian mengulas isu lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ke Arab Saudi baru-baru ini dengan pesawat peribadi yang ditaja Liga Dunia Islam (MWL).
Mohd Puad berkata, isu itu juga mendapat perhatian dua tokoh berkaitan rasuah Cynthia Gabriel dan Ramon Navaratnam, mengkritik tindakan Zulkifli kerana yang menerima tajaan berkenaan.
“Manakala Cynthia Gabriel, Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kroni (C4) kata, ia boleh jadi rasuah jika ada situasi ‘quid pro quo’, iaitu apabila penaja harapkan balasan.
“Itulah orang alim juga boleh terlalai daripada fitnah dan boleh bawa kesan buruk kepada nama baik Kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, sebenarnya tidak elok bagi seorang menteri menaiki pesawat peribadi walaupun ditaja, kerana Timbalan Perdana Menteri pun tidak ada kelayakan berbuat demikian ke luar negara.
“Tajaan itu atas nama peribadi atau Kerajaan? Kalau kerajaan takut ada unsur ‘quid pro quo’.
“Kalau atas nama peribadi, apakah LHDN akan kenakan cukai kepada Datuk Zulkifli? Kalau Datuk Najib boleh kena, takkan Menteri tidak. Jangan double standard,” katanya.
Terdahulu, menjawab isu itu Zulkifli memaklumkan lawatan kerjanya ke Arab Saudi yang bermula Jumaat lalu, ditaja MWL.
Zulkifli turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau menyalahgunakan dana kerajaan ketika melakukan lawatan itu.
Katanya, beliau dijemput untuk ke Madinah dengan menaiki pesawat khas sejurus selepas Gabenor Madinah Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud mengetahui bahawa beliau seorang Menteri berkelulusan Universiti Islam Madinah.
“Saya menaiki penerbangan Saudia Airlines dari Kuala Lumpur ke Riyadh, sama seperti penumpang lain… penerbangan dari Riyadh ke Madinah seperti dalam video itu diuruskan sepenuhnya oleh MWL,” katanya. – Malaysiapost
