PERLU apa minta maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong? Demikian tanya Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md Arip.
Ia susulan suspek utama kes mendera dua pengawal peribadinya kerana berpuasa dilaporkan memohon maaf kepada semua umat Islam di negara ini.
Lelaki berusia 43 tahun itu dilapor menyatakan permohonan maaf kepada pihak media ketika dia dibawa oleh dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi semalam.
Mengulas mengenainya, Muhammad Zahid berkata apakah dengan penyataan maaf itu, maka kes jenayah kekerasan yang dilakukan akan ditutup dan suspek berkenaan akan bebas dan lepas begitu sahaja.
Katanya lagi, apakah emas 100 kilogram dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM28.54 juta berserta pistol yang dirampas bakal dipulangkan dan suspek akan kembali bergaya menjalankan aktiviti haram.
Sehubungan itu, katanya umat Islam mahu melihat suspek segera didakwa, bukan dahagakan permohonan maaf daripadanya.
Beliau juga meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan kerana ketika reman masih belum selesai dan siasatan sedang berjalan, dua anggota polis ditugaskan khas untuk mengiringi suspek bertemu pihak media.
“Sedangkan apa yang sepatutnya dibuat adalah melengkapkan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan,” katanya. – Malaysiapost

