KERTAS siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan majlis perkahwinan pasangan selebriti popular, Neelofa dan PU Riz dipulangkan semula oleh Pejabat Peguam Negara kepada pihak polis untuk dilengkapkan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata pihaknya sebelum ini sudah menghantar kertas siasatan terbabit namun ada beberapa arahan lagi yang perlu dilakukan.
“Kes Neelofa sebenarnya kita sudah hantar kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara, namun ada beberapa arahan lagi yang perlu dilakukan.
“Kita sudah lengkapkannya serta akan hantar kembali kertas siasatan minggu depan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan memaklumkan media mengenai tindakan lanjut berhubung kes berkenaan.
Sebelum ini Mohamad Zainal dilaporkan berkata, polis mencadangkan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Nor, 32 dan pasangannya pendakwah bebas, Harus Ismail atau PU Riz dikenakan kompaun atas kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan kes dua pengawal peribadi yang dibelasah majikan kerana berpuasa, beliau memaklumkan kertas siasatan sudah hampir lengkap dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada Isnin ini bersama dengan siasatan yang dijalankan di IPD Klang Selatan.
“Memandangkan reman suspek utama akan tamat hari ini jadi kita akan serahkan kepada IPD Klang Selatan kerana insiden kejadian di Klang Selatan lebih serius berbanding di kawasan Dang Wangi
“Di kawasan Dang Wangi mangsa hanya ditampar sahaja dan dihina dengan cacian provokasi agama, tetapi di Klang Selatan lebih berat kerana dipukul dengan rotan dan juga diacu dengan pistol,” katanya.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan dua pengawal peribadi dibelasah dan diacu pistol oleh majikannya di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang hanya kerana berpuasa.
Susulan laporan polis dibuat oleh kedua-dua mangsa, lima suspek ditahan dan direman bagi membantu siasatan polis.
Polis turut merampas 100 kilogram emas dan mata wang dollar Amerika Syarikat yang nilai keseluruhan rampasan dianggar RM28.45 juta daripada seorang suspek kes terbabit. – Malaysiapost

