Nilam Oshman
MENYAMBUT Aidilfitri adalah termasuk dalam ibadat sekali gus tidak boleh dicampur-aduk dengan perkara-perkara yang diharamkan.
Demikian tegas Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid ketika mengulas isu video klip iklan raya syarikat judi GDBet333 yang kini tular di media sosial.
Ini kerana katanya, Syawal adalah bulan mulia dan perayaan Aidilfitri juga adalah ibadat yang mana umat Islam bergembira setelah sebulan berpuasa, maka ia tidak boleh dikaitkan dengan perkara haram serta maksiat.
“Puasa Ramadan adalah ibadat kepada Umat Islam, kita berlumba-lumba bertabarruk diri kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala tuntutan-tuntutan yang wajib iaitu berpuasa, solat dan zakat fitrah.
“Berjudi adalah satu perkara maksiat yang dilarang oleh agama. Dalam Al-Quran mengatakan: Sesungguhnya arak, judi dan tilik nasib adalah perbuatan yang dilarang,” katanya.
Sehubungan beliau mengingatkan umat Islam agar menjauhi perkara haram dan maksiat yang cuba dikaitkan dengan ibadat.
Katanya lagi, apabila berlaku situasi ibadat dalam Islam dicemari dengan perkara-perkara haram maka dikhuatiri mendapat kemungkaran Allah SWT.
“Orang Islam perlu sedar bahawa setiap manusia wajib menjauhi perkara kemungkaran.
“Amal makruf nahi mungkar… lakukan perkara kebaikan dan jauhi kemungkaran. Jadi janganlah perkara mungkar ini apabila berlaku kita menunggu tindakan penguatkuasa. Apa-apapun semua atas diri sendiri, tanggungjawab individu terlebih dahulu menghindarinya.
“Kita perlu sedar perkara mungkar yang dilarang oleh Allah SWT patut dijauhi,” katanya.
Terdahulu hari ini tular Klip video oleh syarikat judi GDBet333 memaparkan pelakon lelaki memakai baju Melayu dan perempuan muslim yang bertudung dengan lagu berkisar mengenai Aidilfitri.
Video tersebut memaparkan seorang lelaki kelihatan sugul kerana tidak dapat pulang beraya ke kampung disebabkan tiada wang.
Namun nasib pemuda itu berubah setelah mencuba nasib menerusi web syarikat perjudian itu.
Antara lirik pada lagu dalam video klip berkenaan adalah:
“Nak balik kampung duit tak ada, tapi ada cara untuk mencari, GDBet333 ada, apa ditunggu marilah cuba, untung nasib mu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya.” – Malaysiapost

