Pukul bodyguard puasa: Umat Islam diminta bertenang, beri ruang polis siasat

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa kesal dan kecewa dengan kejadian dua pengawal peribadi dipukul majikan kerana berpuasa.

Beliau berkata, sekiranya kejadian itu terbukti benar ia bukan sekadar kes jenayah tetapi disifatkan sebagai penghinaan terhadap perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Pesekutuan.

Ahmad Zahid berkata, kejadian itu menimbulkan kemarahan umat Islam namun beliau meminta semua pihak bertenang dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Ia sesuatu yang sangat mengecewakan selepas begitu lama masyarakat kita berbilang bangsa dan agama hidup bersama penuh aman dan harmoni.

“Berpuluh tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk rakyat Malaysia supaya hidup bertoleransi dan saling memahami.

“Apa sudah jadi pada hari ini? Mana pergi nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia seperti apa yang dilaporkan dalam kes ini?,” soalnya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, lebih menyedihkan siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa masing-masing berusia 26 dan 43 tahun telah pun bekerja di syarikat tersebut antara tiga sehingga tujuh tahun.

“Saya faham berita kejadian ini menimbulkan kemarahan ramai umat Islam Malaysia. Bagaimanapun saya menyeru semua supaya bertenang.

“Serahkan perkara ini kepada pihak polis. Biarkan polis menjalankan siasatan sepenuhnya. Majikan tersebut telah pun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, adalah tidak berbaloi bertelagah sesama sendiri hanya kerana perbuatan beberapa manusia yang kurang bertamadun.

“Saya meminta kepada semua jangan sesekali kita ‘menuangkan minyak tanah dalam api’ kerana itu sekadar akan membuat keadaan bertambah keruh.

“Ini negara kita. Kita jaga kesejahteraan negara kita. Namun kita tetap menuntut supaya kes ini disiasat secara adil seadil-adilnya dan tindakan yang keras sekeras-kerasnya dikenakan ke atas suspek jika terbukti mereka melakukan perbuatan zalim itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, tiada sesiapa boleh mempersoal, mengkritik apatah menghalang umat Islam negara ini daripada melaksanakan ibadah dan kewajipan mereka sebagai muslim.

“Walau apa pun hasil siasatan polis nanti, jadikan kes ini sebagai iktibar kepada semua bahawa sikap saling menghormati adalah kunci utama perpaduan masyarakat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/15/majikan-belasah-bodyguard-berpuasa-mangsa-tak-melawan-kerana-tidak-mahu-situsi-tambah-kecoh/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here