USAHA mencari dan menyelamat 14 pendaki yang tersesat di Gua Kelam Tiga, Padang Besar, sejak semalam sedang giat dilakukan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas berkata, pendaki terbabit terdiri daripada dua kelab rekreasi tempatan, 10 lelaki dan empat orang perempuan.
“Kita difahamkan 11 orang pendaki mula memasuki Gua Kelam Tiga pada 11 pagi semalam (Isnin) bersama sekumpulan pendaki dari sebuah politeknik, namun mereka (11 pendaki) memilih jalan berbeza menyebabkan terpisah dari kumpulan pendaki politeknik.
“Pada 10 malam, tiga orang lagi pendaki yang menghantar makanan kepada rakan mereka turut sesat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.
Menurut Saifudin, polis menerima laporan awal pada jam 6.50 pagi dan berjaya mengenal pasti lokasi pendaki apabila berjaya menghubungi mangsa yang sesat kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
“Kita telah lancar operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11 pagi yang dianggotai 18 orang daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Malaysia (JPM) dan pemandu arah,” katanya.
Saifudin berkata, maklumat awal yang diperoleh mendapati bahawa semua mangsa dalam keadaan selamat dan hanya mengalami keletihan dan luka-luka kecil.
“Kita terpaksa mengambil masa yang agak panjang untuk membawa keluar semua mangsa berikutan keadaan gua dan mungkin akan mengambil masa lapan hingga 10 jam,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati bahawa semua mangsa masuk ke gua itu tanpa kebenaran pihak JPM dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan boleh dikompaun. – Malaysiapost

