Kenapa wakil rakyat tidak digantung tugas – Rais

0
2

YANG Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim membangkitkan pelaksanaan hukuman ‘double standard’ antara penjawat awam yang dihukum dengan wakil rakyat yang dihukum.

Menurutnya, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan setiap rakyat harus mendapat hak sama rata.

“Jika penjawat awam harus digantung tugasnya apabila berhadapan kes di mahkamah, mengapa hal sama tidak turut berlaku kepada wakil rakyat?

Justeru, Rais mencadangkan satu kaedah harus difikirkan bagi mengenakan satu bentuk hukuman ke atas wakil rakyat yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Sekarang ini kita lihat, seseorang penjawat awam apabila didakwa di mahkamah, semua khidmatnya digantung, tak boleh bergerak.

“Tetapi bagi wakil rakyat atau Ahli Parlimen misalnya, mereka terus boleh bergiat, waima telah dikenakan beberapa syarat termasuk jamin, ataupun termasuk hukuman (bersalah) lantaran mereka membuat rayuan. Tetapi dalam dunia penjawat awam ini tidak berlaku.

“Jelasnya (untuk) wakil rakyat wajar difikirkan apakah struktur pasca hukuman yang perlu dilalui, yang sekarang ini tidak ada jawapannya, seperti yang kita lihat di sekitar.

“(Berbeza dengan penjawat awam) Mereka (wakil rakyat) masih terus boleh berkhidmat dan menjalankan tugas yang ada padanya dan dianggap adalah sah,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini.

Bagaimanapun Rais yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan itu tidak menyebut nama mana-mana wakil rakyat yang dimaksudkan.

Perkara 8 yang dipetik Rais menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Sehingga kini, beberapa pemimpin politik yang juga wakil rakyat terutamanya daripada Umno telah dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah atas kesalahan rasuah.

Antara yang telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (Ahli Parlimen Pekan) dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ahli Parlimen Putrajaya).

Namun, Tengku Adnan masih menunggu rayuan, manakala Najib sedang memohon hukumannya dibatalkan di Mahkamah Rayuan berhubung rayuan sabitan kesalahan rasuah kes SRC International yang sedang berjalan.

Beberapa lagi pula berdepan pertuduhan di mahkamah, antaranya Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Ahli Parlimen Bagan Datuk) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Ahli Parlimen Baling), dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Ahli Parlimen Pontian). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here