Ismail Sabri berpotensi jadi tonggak Umno – pensyarah

0
1

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpotensi dan layak menjadi tonggak dan memimpin parti itu pada masa hadapan.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata sebagai Menteri Kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ismail Sabri layak dan mampu membawa Umno kembali ke landasan perjuangan yang sebenar.

“Keberanian Ismail Sabri menegur cara Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) diadakan diharap akan membuka mata ahli-ahli parti di peringkat akar umbi tentang kedudukan semasa Umno dalam kerajaan.

“Umno perlu berubah selaras perubahan pantas yang sedang berlaku dalam suasana politik semasa dan Ismail amat sesuai menjadi pemimpin yang memangkinkan perubahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam satu rakaman video Program Bangkit15 yang tular, Ismail Sabri menyifatkan PAU2020 sebagai perhimpunan parti paling teruk dalam sejarah.

Malah, Menteri Kanan Pertahanan itu menganggap matlamat PAU2020 tidak mencapai sasaran untuk memperkukuh akar umbi Umno bagi menghadapi PRU15 nanti.

Menariknya, menurut Kamarul Zaman, keberanian Ahli Parlimen Bera itu mengulas mengenai isu berkenaan membuka mata banyak pihak mengenai keperluan Umno untuk mengadakan pemilihan tahun ini.

“Keperibadian beliau yang tidak mempunyai apa-apa kontroversi serta ada populariti kerana saban hari muncul dalam media massa bagi melaporkan perkembangan terkini penguatkuasaan kawalan Covid-19.

“Itu menjadikannya tokoh paling sesuai untuk diletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri jika itu difikirkan langkah terbaik untuk menstabilkan politik negara,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here