SEORANG remaja berusia 15 tahun diugut kenalan lelaki yang baru dikenali selama tiga bulan untuk menyebarkan gambar bogelnya di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata mangsa menerima ugutan itu ketika berada di rumahnya di Jinjang, Kuala Lumpur.
Menurutnya, menerusi siasatan awal, mangsa berkenalan dengan suspek sejak tiga bulan lalu menerusi aplikasi pesanan di Instagram.
“Mangsa dipujuk oleh suspek untuk berbogel ketika panggilan video dibuat.
“Suspek kemudian telah menangkap layar gambar -gambar ketika mangsa berbogel tanpa pengetahuannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek turut mengugut untuk menyebarkan gambar bogel tersebut jika mangsa enggan memperkenal rakan-rakannya kepada suspek.
“Polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Sekyen 233 Akta Komunikasi Multimedia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai untuk berhati-hati menggunakan media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan orang yang baru dikenali. – Malaysiapost
Foto Kredit: The News Minute
Gambar sekadar hiasan.

