SEKUMPULAN Ahli Parlimen pembangkang hari ini menggesa kerajaan supaya menyegerakan suntikan vaksin kepada kumpulan guru.
Gesaan tersebut dibuat agar risiko jangkitan Covid-19 terhadap golongan pengajar ini dapat dikurangkan, melalui satu kenyataan bersama yang terdiri daripada;
Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Tampin Datuk Hasan Baharom, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Amirudin Hamzah, Ahli Parlimen Kota Belud Isnairassah Munirah dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
“Justeru, para guru yang mengajar di sekolah menengah kini telah menyertai rakan-rakan mereka di sekolah rendah untuk kembali ke sekolah. Ini bermakna hampir 500 ribu guru telah kembali ke sekolah.
“Hakikat yang tidak dapat disangkal, para guru juga menjadi golongan barisan hadapan menyantuni anak-anak kita untuk menjamin kelangsungan pendidikan dan masa depan negara.
“Apa yang kita maklum, hal ini mendedahkan para guru kepada risiko untuk dijangkiti virus Covid-19,” kata mereka.
Sehubungan itu, mereka meminta perkara ini diberikan perhatian yang serius oleh pihak kerajaan.
“Kesejahteraan para guru merupakan kelangsungan kemapanan pendidikan anak-anak bangsa.
“Menyedari realiti ini, kami mewakili pelbagai parti dari blok pembangkang menggesa agar KKM bekerjasama dengan pihak KPM untuk memberikan suntikan vaksin segera mungkin ke atas guru-guru kita.
“Penangguhan pemberian vaksin kepada para guru hanya akan mendedahkan bukan hanya para guru kepada bahaya, malah juga kepada anak-anak murid. Segerakan pemberian vaksin kepada para guru!,” menurut kenyataan bersama itu. -Malaysiapost

