SELEBRITI dan usahawan popular, Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz telah selesai memberi keterangan kepada pihak polis malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohammad Zainal Abdullah berkata, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor sepatutnya dijadualkan tampil ke IPD esok untuk membantu siasatan.
“Hari ini sejurus selepas menghadiri satu majlis sebelah petang tadi, dia (Neelofa) bersama suaminya hadir ke IPD sebelum Maghrib tadi.
“Dia sepatutnya datang esok tetapi tiba-tiba sudah ada di IPD antara 6 hingga 7.30 malam dan sudah selesai memberi keterangan yang diperlukan kepada polis dalam kes ini bersama suaminya tadi,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Mohamad Zainal berkata, polis selepas ini akan cuba melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas mendapati majlis yang berlangsung itu gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.
“Kita akan cuba menyegerakan proses melengkapkan siasatan memandangkan pegawai penyiasat kes sudah selesai mengambil keterangan daripada pasangan suami isteri berkenaan.
“Kita akan cuba lengkapkan kertas siasatan kes ini dalam minggu ini kemudian kita akan kemukakan kertas siasatan lengkap itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” tegasnya.
Neelofa bersama beberapa lagi individu yang hadir ke majlis pernikahannya d isiasat polis selepas sekeping gambar yang tular di media sosial menerima kritikan kerana tidak mematuhi penjarakan fizikal selain tidak memakai pelitup muka.
Justeru, pengurus hotel berkenaan serta penganjur majlis tersebut juga telah dipanggil polis dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kerana gagal memastikan pematuhan SOP oleh tetamu dan juga pasangan pengantin itu.
Malah pada satu majlis tengahari semalam, Neelofa menegaskan dia mahu menyelesaikan isu tersebut secara tertutup dan profesional bersama pihak polis.- Malaysiapost

