Zahid gesa kerajaan rangka pelan pemulihan ekonomi

0
1
zahid hamidi

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Pelan Pemulihan Ekonomi (PPE) dirangka dan diserap sebagai ‘patriotisme economic’ bagi memulihkan negara yang terjejas kerana pendemik Covid-19.

Menurutnya, pakar-pakar dalam bidang tertentu boleh tampil  menyumbangkan idea  bagi menghidupkan semula sektor ekonomi sekali gus menyemarakkan pembangunan negara.

“Jika dahulu kala, negara tidak mencapai kemajuan seperti hari ini dan aspek patriotisme lebih terarah kepada perjuangan kemerdekaan, konfrontasi dan ketenteraan. Namun, perubahan dimensi masa menyaksikan patriotisme yang dituntut adalah bagaimana kita mahu memulihkan negara.

“Boleh saya katakan ekonomi negara ketika ini tenat dan kita tidak boleh bergantung harap hanya pada kerajaan. Maka dalam situasi yang serba mencabar, rakyat boleh menzahirkan ilham bagaimana mahu memulihkan ekonomi dengan kerajaan wajar menerima buah fikiran mereka,” katanya dalam satu catatan di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan, inilah yang beliau maksudkan mengenai ‘patriotisme economics’.

“Jika selama ini semangat patriotik hanya dapat dilihat ketika sambutan hari kemerdekaan ataupun apabila atlet menyumbangkan pingat dalam temasya sukan.

“Tetapi apabila ekonomi makin ranap, saat inilah ‘patriotisme economic’ amat diperlukan. Masihkah ahli UMNO semua ingat bagaimana Tunku Abdul Rahman pada saat mahu menuntut kemerdekaan? Ketika itu rakyat dengan seluruh jiwa dan raga mengorbankan wang ringgit bagi memastikan Tunku tiba di London,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengimbas ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2020 lalu yang menekankan mengenai ‘patriotisme economic’.

“Ahli-ahli Umno sekalian. Malaysia sudahpun merdeka namun keadaan ekonominya sangat genting. Maka saya menuntut sahabat saya sekalian, zahirkanlah buah fikiran anda untuk memulihkan negara ini. Kita sayangi Malaysia.

“Sesungguhnya kehadiran Covid-19 memberi kesan yang besar kepada ekonomi dan sosial. Pembangunan yang dirancang tergendala dan banyak perniagaan terpaksa ditutup. Inilah masa untuk menyumbang dan membuktikan kecintaan pada negara,” katanya.

Pada masa sama bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengambil contoh ekonomi Amerika Syarikat yang mengalami depresi ekonomi pada tahun 1935 sehingga Presiden Roosevelt terpaksa melaksanakan Work Progress Administration (WPA).

“Bersama-sama rakyat, mereka berjaya memulihkan negara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Kita juga boleh dan mampu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here