Langgar SOP: Neelofa mohon diberi ruang selesaikan sendiri

0
2

SELEBRITI dan usahawan popular, Neelofa, memohon supaya diberi ruang menyelesaikan isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) majlis pernikahan serta insiden merentas negeri secara profesional dan tertutup dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Neelofa yang enggan mengulas panjang isu berkenaan mendakwa ia boleh memudaratkan keadaan, selain memberi jaminan akan menyelesaikan isu itu secara profesional.

“Saya menghormati semua yang hadir tentunya ingin bertanya perkara sama. Tetapi saya meminta kepada rakan media supaya beri saya ruang untuk menyelesaikan perkara ini secara profesional.

“Saya tidak mahu mengulas panjang kerana boleh memudaratkan keadaan. Beri saya ruang untuk selesaikan secara baik dan tenang tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Lagipun, saya tidak perlu memberi penjelasan secara terperinci apa yang bakal saya lakukan. Beri saya ruang untuk selesaikan sendiri dengan pihak yang berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ketika ditanya bila dia dan suami, Haris Ismail, 26, atau PU Riz akan memberi keterangan kepada polis, Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, enggan mengulas lanjut.

Ditanya mengenai kunjungan ke Langkawi sehari selepas bernikah pada 27 Mac lalu, bekas pengacara Meletop itu berkata, jadual kerja sudah diatur lebih sebulan.

“Jadual kerja bukanlah dibuat secara spontan. Sebaliknya, semua dirancang lebih sebulan. Lagipun, kita bakal meraikan Ramadan tidak lama lagi. Jadi, saya ingin menyelesaikan semua tugasan tertunggak sebelum puasa.

“Alhamdulillah, semuanya dapat diselesaikan minggu lalu. Impak daripada maklum balas orang ramai, kami ditawarkan membuka lebih daripada satu cawangan jenama minuman ringan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kertas siasatan kes pelanggaran SOP majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz, dijangka siap minggu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata, polis juga akan memanggil pasangan itu untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here