“KITA masih lagi profesional, dia umpama pemain bola sepak yang mana dia sudah tahu bahawa dia akan berpindah ke pasukan lain tapi untuk pasukan itu dia masih lagi bermain,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Kenyataan Saarani itu merujuk kepada prinsip barisan Exco kerajaan negeri Perak yang bersikap profesional, seperti mana pemain bola sepak dalam melaksanakan tanggungjawab meskipun sedar bakal berpindah ke kelab lain.
Walaupun tidak menyatakan secara jelas, kenyataan Saarani itu juga dipercayai merujuk kepada hubungan semasa antara Umno, PAS dan Bersatu.
Beliau berkata, Kerajaan Perak kini ditunjangi menteri besar daripada Umno berserta lima Exco, serta tiga Exco daripada Bersatu dan ada dua Exco PAS.
“Kita masih lagi hadir mesyuarat Exco yang sama, membuat keputusan secara bersama dan melaksanakan keputusan yang ditetapkan itu.
“Kita masih lagi profesional, dia umpama pemain bola sepak yang mana dia sudah tahu bahawa dia akan berpindah ke pasukan lain tapi untuk pasukan itu dia masih lagi bermain sebab dia masih lagi pemain di pasukan itu,” katanya seperti dilaporkan portal Umno Online.
Dalam pada itu, Saarani yang juga Adun Kota Tampan berkata, apa yang lebih utama pada ketika ini adalah mengekalkan kerajaan negeri sedia ada kerana ianya dibentuk dengan kestabilan.
“Jadi sama juga dengan situasi ini kita tidak tahu apa yang berlaku selepas PRU15 tapi buat masa ini kita telah diberi mandat untuk menjadi kerajaan.
“Saya ingatkan pada diri saya dan pada barisan Exco yang ada bahawa kita ada tanggungjawab kepada rakyat.
“Bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada rakyat, jadi dengan angkat sumpah yang kita telah buat di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah maka kita tidak boleh mengabaikan rakyat,” katanya.
Baru-baru ini, menerusi Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 parti itu membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.
Keputusan itu sekali gus menyebabkan hubungan Umno, PAS dan Bersatu semakin dingin.
Malah, PAS juga dilihat condong memihak kepada Bersatu apabila parti itu menyatakan pendirian untuk terus kekal kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi. – Malaysiapost

