KETUA Pemuda Umno Kedah Mohd Fadzil Zolkifli hari ini meletak jawatan sebagai Pegawai Khas Menteri Besar berkuat kuasa serta merta.
Kebimbangan hubungan antara Umno dan PAS akan menjadi dingin dan retak telah menjadi alasan Mohd Fadzil meletakkan jawatan, selain mahu memastikan Muafakat Nasional (MN) terus kukuh di Kedah.
“Begitu pun saya ingin menegaskan bahawa apa yang saya nyatakan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini adalah benar dan bukan ditambah perisa bagi menyedapkan ucapan semata-mata.
“Berdepan situasi dikritik dan dikutuk telah beberapa kali berlaku melibatkan beberapa isu berbangkit seperti i-Sinar, moratorium dan sebagainya,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Surat peletakan jawatan tersebut diserahkan kepada wakil Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Datuk Armishah Siraj, hari ini.
Difahamkan, peletakan jawatan tersebut dilihat berkait rapat dengan ucapan Mohd Fadzil pada PAU 2020 baru-baru ini berkaitan dilema yang dihadapi beliau semasa bertugas di pejabat Menteri Besar.
Dalam ucapan tersebut, Mohamad Fadzil mendakwa, beliau terkontang-kanting sebagai satu-satunya pegawai khas dari Umno di Pejabat Menteri Besar selain berdepan kutukan berhubung isu i-Sinar dan moratorium diperjuangkan Pemuda Umno.
Berikutan itu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menerusi Facebooknya telah membuat teguran kepada Mohd Fadzil yang didakwa tidak bercakap benar hingga menimbulkan persepsi bahawa pegawai khas Menteri Besar dari Umno itu seolah-olah telah dibuli.
Namun Mohd Fadzil berkata, sejak isu itu dibangkitkan, beliau tidak pernah diberi ruang untuk memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku kepada Muhammad Sanusi.
“Begitu pun saya yakin, Menteri Besar tak perlu dipersalahkan dalam hal ini kerana beliau mungkin tidak faham situasi sebenar tentang apa yang berlaku. Malah penulisan di laman Facebooknya itu pun, saya andaikan bukan datang dari Muhammad Sanusi sendiri.
“Saya kenal sangat Menteri Besar dan rasanya beliau telah diberi kefahaman salah oleh seseorang yang mungkin terasa dengan perkara dinyatakan dalam Perhimpunan Agung Umno tempoh hari.
“Individu berkenaan mungkin mempengaruhi Menteri Besar dan sebab itu saya anggap Muhammad Sanusi tidak bersalah,” katanya. – Malaysiapost

