Terima kasih MIC – Muhyiddin

0
1
soya cincau

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih kepada MIC yang terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, sokongan MIC sangat penting bagi menjamin kestabilan kerajaan PN yang sedang berdepan dengan cabaran sukar memerangi pandemik Covid-19.

“Ini adalah satu tindakan yang rasional kerana dengan sokongan MIC ini, Kerajaan Perikatan Nasional dapat terus berfungsi dengan baik dalam mentadbir negara dan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam waktu yang sukar ini.

“Saya percaya para pimpinan dan perwakilan MIC dapat membuat pertimbangan yang bijaksana dalam menentukan negara kita sentiasa berada pada landasan yang betul untuk melonjak lebih maju ke hadapan.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada MIC yang terus menyokong usaha kerajaan dalam mengurus pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Sokongan MIC telah membolehkan kerajaan Perikatan Nasional mengurus negara dengan baik sekalipun berhadapan dengan suatu krisis besar yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat,” katanya.

Meskipun MIC tidak menyertai PN dan masih kekal dalam Barisan Nasional (BN), Muhyiddin tetap diberi penghormatan untuk hadir dan merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-74, hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, landskap politik negara telah berubah dan tiada satu parti pun boleh mendabik dada sebagai parti yang dominan ketika ini.

“Kita telah memasuki era baharu dalam politik negara kita. Tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa bahawa merekalah parti yang paling dominan dan lebih berhak untuk memegang tampuk kuasa dengan memperkecilkan peranan parti-parti lain. Ini politik lama,” katanya.

Tambah Muhyiddin, dalam era politik baharu ini, semua parti mempunyai peranan dan sumbangan yang sama penting untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara.

“Kerana itu, kita perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan kepada persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik untuk memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara.

“Dalam apa sahaja hala tuju politik yang diambil oleh parti politik, pertimbangan utamanya mestilah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan individu atau kelompok yang kecil.

“Apa yang baik untuk rakyat, apa yang baik untuk negara, itulah yang sepatutnya menjadi prinsip panduan kepada mana-mana organisasi politik, termasuk MIC, dalam menentukan hala tuju parti pada masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here