Tak cukup majoriti tapi nak putuskan sesuatu? – Annuar

0
1

BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan tindakan Umno yang tidak mempunyai sokongan majoriti mudah namun cuba untuk meluluskan usul dalam kerajaan.

Kenyataan Annuar itu dipercayai berhubung kait dengan keputusan Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan semua menteri dan timbalan menteri dari parti itu untuk meletak jawatan dalam Kabinet.

Menerusi ciapan di laman Twitter, beliau berkata apa yang disampaikan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 tempoh hari berbeza dengan usul bertulis sebelum ini.

“Saya amat setuju..usul yang di lulus ni Usul Bertulis Dan Tanpa Pindaan..tolong baca, baru bercakap.

“Yang dalam ucapan, ada macam macam. Yang berlaku dalam dewan depan 800 orang tu satu hal.. itu tak cukup pun simple majoriti nak putus sesuatu..yang sahih, apa yang tertulis,” katanya dalam ciapan itu semalam.

Beliau juga memuat naik ketetapan Usul Bertulis yang diterangkannya.

Kandungan tangkap layar tersebut tertulis tiada kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Pada PAU2020 lalu, Umno membuat keputusan tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang dan ia adalah muktamad

Umno juga menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Parti berkenaan akan bertanding sepenuhnya dalam PRU15 atas tiket Barisan Nasional.

Berikutan keputusan itu, Ahmad Zahid mahukan semua menteri dan timbalan menteri untuk meletak jawatan dalam Kabinet kerajaan PN.

Bagaimanapun, Isnin lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus berada di Kabinet.

Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut bagi mengambil kira kepentingan rakyat dan negara. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here