KERAJAAN akan menyiasat mengenai laporan media Korea Utara yang mendakwa negara berkenaan masih membenarkan ejen perisik mereka menjadikan Malaysia sebagai transit untuk penyeludupan senjata serta barangan mewah.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat mengenai dakwaan berkenaan.
“Kadang-kadang mereka mungkin ‘gempar’ sahaja, kita pun tidak tahu jadi kita jangan ‘melompat’ dengan cepat dan memberikan jawapan yang mungkin boleh mengeruhkan lagi suasana..Kita akan siasat.
“Setakat hari ini tidak dengar apa-apa berita tentang perkara tersebut, tetapi kalau membabitkan negara luar ia dalam bidang kuasa Kementerian Luar Negara kerana dari segi rundingan, perbincangan tidak membabitkan Kementerian Pertahanan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kereta Berperisai Mobiliti Tinggi 4×4 (Tarantula HMAV4x4) di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menjawab soalan wartawan mengenai dakwaan media Korea Utara yang mengatakan ejen perisik negara berkenaan masih menjadikan Malaysia sebagai transit penyeludupan senjata dan barangan mewah.
Ismail Sabri berkata, dari segi keselamatan negara, beliau belum dapat laporan tentang perkara itu daripada pihak risikan dan sebagainya, namun akan menjalankan siasatan mengenainya.
Korea Utara dalam satu kenyataan sebelum ini, memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana menganggap negara ini melakukan ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ kerana menghantar rakyatnya yang tidak bersalah ke Amerika Syarikat secara paksaan.
Bertindak balas dengan perkara itu Malaysia mengusir semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga untuk meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam bermula 19 Mac lalu. – Malaysiapost

