Pemimpin tertinggi utama strategi peribadi punca MN berkecai

0
2

MUAFAKAT Nasional (MN) berkecai akibat pendirian beberapa kerat pemimpin tertinggi Umno yang meletakkan strategi peribadi mengatasi keputusan parti sendiri, dakwa Ahli Parlimen Keterah, Tan Sri Annuar Musa.

Bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) itu berkata sejak berakhir Perhimpunan Agung Umno 2020 Ahad lalu, satu demi satu berita negatif menghimpit Umno, baik dalaman maupun luaran.

Malah, katanya tinjauan dalam kalangan rakyat biasa jelas tidak berpihak pada pimpinan parti.

Pada masa sama, beliau mendakwa kenyataan PAS hari ini tentang kedudukan MN sudah diduga.

Annuar juga mendakwa ‘kerjasama gelap’ yang dijalin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta komitmen menyokong Presiden PKR itu telah ‘kantoi’ sehingga Umno tidak dipercayai kawan dan diperalatkan lawan.

“Meskipun ada percubaan menyembunyikan perkara itu, ia tetap dihidu oleh semua.

“Yang pasti dasar No Anwar, No DAP yang turut menjadi dasar bersama MN telah dilanggari pemimpin parti yang kini membawa kepada luka dan tercederanya MN.

“Umno perlu segera dirawat. Umno perlu segera mencari penawar daripada diracun dari dalam oleh pimpinan sendiri. Nakhoda sendiri sedang menenggelamkan bahtera yang dilayari,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi.

Annuar berkata Umno masih belum terlambat dan boleh diselamatkan, asalkan buang dendam kesumat dan jangan lagi berkata kesat.

“Kawan jangan dihembur dengan kata-kata kesat. Jangan angkuh dengan pangkat, muafakat itu lebih berkat,” katanya.

Terdahulu hari ini Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagai memberi bayangan menolak kerjasama dengan Umno berdasarkan beberapa ketetapan dibuat parti itu.

Dalam tulisannya hari ini, Presiden PAS itu berkata, parti itu menolak muafakat yang berpecah dan menyelewengan daripada matlamat MN.

PAS juga katanya, menolak agenda yang bertujuan semata-mata menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya.

“PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat MN yang asal. Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.

“PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

“PAS menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.

“PAS menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat,” katanya dalam tulisan Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Tulisan Abdul Hadi ini dilihat mempunyai kaitan dengan keputusan Umno yang mahu menamatkan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 Ahad lalu membuat ketetapan bahawa Umno menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here