Aiman Hanif
PAS seolah-olah memberi bayangan menolak kerjasama dengan Umno berdasarkan beberapa ketetapan yang dibuat pemimpinnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam tulisannya hari ini, Presiden PAS itu berkata, parti itu menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional (MN).
PAS juga katanya menolak agenda yang bertujuan semata-mata menyelematkan peribadi pemimpin dan kumpulannya.
“PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat MN yang asal. Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.
“PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.
“PAS menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.
“PAS menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat,” katanya dalam tulisan Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.
Tulisan Abdul Hadi ini dilihat mempunyai kaitan dengan keputusan Umno yang mahu menamatkan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 Ahad lalu membuatkan ketetapan bahawa Umno menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubar.
Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, matlamat PAS bukan until menyelamatkan seseorang atau kelompok tertentu saja, namun untuk seluruh umat manusia.
Oleh PAS menyeru semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baru, PN bersama-sama dengan Bersatu yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.
“Tujuan PAS sudah terang lagi bersuluh, bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya adalah untuk menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin.
“Maka, jika terdapat mereka yang sempit dan terhad tujuannya itu pasti ditinggalkan,” katanya lagi. -Malaysiapost
Artikel berkaitan :

