BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan yang bakal diambil terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka semasa menghadiri sebuah majlis.
Najib menerusi hantaran di laman Facebooknya, berkata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini individu yang telah menerima vaksin Covid-19 tetap perlu mematuhi SOP.
“Setahu saya, orang yang sudah diberi vaksin masih perlu ikut SOP. Ini yang Menteri vaksin Khairy kata tiga hari lalu.
“Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) juga pernah memberi amaran yang sama.
“Adakah PM8 juga akan disiasat langgar SOP?,” katanya hari ini.
Najib sebelum ini pernah dikecam kerana tidak mengimbas QR kod MySejahtera di sebuah restaurant di Bukit Bintang pada 19 Mac lalu.
Beliau berkata, pada hari yang sama dirinya didakwa melanggar SOP, beliau mengakui tersilap dan meminta untuk dikenakan kompaun.
Dalam hantaran itu juga, Najib memuat naik gambar yang memaparkan Muhyiddin tiba di Hotel Zenith di Johor pada 31 Mac untuk mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional Johor.
Pada masa sama, dalam gambar itu Muhyiddin dilihat satu-satunya individu yang tidak memakai pelitup muka ketika melalui hotel berkenaan. – Malaysiapost

