Aiman Hanif
Perhimpunan Agung Umno (PAU) Ahad lalu tidak mengemukakan usul supaya Menteri dan Timbalan Menteri Umno melepaskan jawatan serta merta, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebaliknya kata beliau PAU menerima usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaik Parlimen dibubarkan.
“Itulah…Usul yang diterima dalam PAU2020 dan isu adalah jelas iaitu usul kedua dengan menyokong kerajaan yang pada hari ini sehingga PRU-15.
“Dan apabila Parlimen dibubar tidak ada kerjasama lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ismail yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail turut mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang berkata, semua menteri dari UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet hasil kesepakatan yang dicapai.
Perdana Menteri berkata, dengan kesepakatan itu, Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.- Malaysiapost

