Annuar, fokus kepada Taman Rimba Kiara, bukan Umno-Bersatu

0
1
hannah yeoh annuar musa

AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, memberi perhatian kepada isu di Taman Rimba Kiara, bukan sibuk dengan konflik Umno dan Bersatu.

Ia kerana, jelas bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat itu, sehingga hari ini beliau dan Ahli Parlimen pembangkang di Kuala Lumpur masih belum menerima maklum balas terhadap surat bertarikh 7 Disember 2020 yang memohon untuk mengadakan pertemuan antara mereka.

“Sudah hampir empat bulan dan sehingga sekarang tiada sebarang tarikh temujanji yang diberikan oleh menteri kepada kami.

“Surat saya kepada Menteri Wilayah Persekutuan bertarikh 16 Februari 2021 bagi memohon mengadakan pertemuan bersama Persatuan Penduduk untuk membincangkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pembangunan/perumahan di Taman Rimba Kiara juga sehingga kini belum berjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan telah berpihak kepada penduduk tetapi yang menghairankan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran Annuar masih terus mengemukakan rayuan kes tersebut ke mahkamah.

“Namun surat kami tidak dijawab dan tarikh mesyuarat tidak diberikan, malahan kini Parlimen juga tidak bersidang.

“Apakah cara lain untuk mengutarakan isu kepada Menteri Wilayah Persekutuan?,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Annuar segera memberi tarikh perjumpaan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang di Kuala Lumpur dan memanfaatkan kuasa yang diperoleh untuk kebaikan rakyat dan tidak hanya sibuk dengan perbalahan Umno-bersatu.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan perintah pembangunan yang dikeluarkan DBKL bagi projek pembinaan unit kediaman di Taman Rimba Kiara.

Panel tiga hakim membabitkan Datuk Mary Lim Thiam Suan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), Datuk Has Zanah Mehat dan S Nantha Balan, membuat keputusan itu sebulat suara selepas membenarkan rayuan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Dalam penghakiman yang disampaikan Thiam Suan, mahkamah memutuskan penduduk mempunyai kedudukan perundangan (locus standi) untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan DBKL kerana mereka terjejas dengan cadangan pembangunan itu.

Susulan itu, beliau berkata, perintah pembangunan bertarikh 1 Julai 2017 diketepikan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here