Hanya 409 pengembara dibenar kuarantin di rumah

0
1

SERAMAI 61,931 pengembara warganegara dan bukan warganegara telah tiba di Malaysia dari luar negara dalam tempoh 1 Januari hingga 27 Mac lalu. 

Daripada jumlah itu 61,462 orang (99.2%) telah dikuarantin wajib di stesen kuarantin;

409 orang (0.7%) kuarantin wajib di tempat kediaman; 31 orang (0.05%) kuarantin di hospital; dan 29 orang (0.05%) adalah pelawat perniagaan antarabangsa jangka pendek (STBT). 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi tempoh sama sebanyak 2,743 permohonan untuk kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin telah diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Sebanyak 409 permohonan diluluskan untuk menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman dan kelulusan itu adalah berdasarkan kepada penilaian risiko jangkitan menggunakan kriteria yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau menjelaskan mengenai isu yang tular di media sosial berkaitan permohonan untuk kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin bagi pengembara yang tiba dari luar negara. 

Menurutnya, pengembara yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah adalah membabitkan beberapa faktor antaranya adalah disebabkan oleh masalah kesihatan, penjaga kepada pengembara yang mengalami masalah kesihatan, mempunyai sejarah positif Covid-19 dan di bawah Periodic Commuting Arrangement / Reciprocal Green Lane (PCA/RGL). 

Menurutnya, faktor lain adalah membabitkan kanak-kanak berumur di bawah 16 tahun yang ppulang tanpa pengawasan penjaga, bertujuan menguruskan pengkebumian ahli keluarga, warga emas dan lain-lain justifikasi yang dipertimbangkan setelah penilaian risiko dijalankan. 

Beliau berkata, sebahagian daripada jumlah keseluruhan permohonan itu juga diberi pelepasan masa (time off) untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit atau menghadiri pengkebumian ahli keluarga.

“Bagi mereka yang memohon untuk melawat ahli keluarga yang sakit atau menghadiri pengkebumian ahli keluarga yang meninggal dunia, pengembara (Person Under Surveillance – PUS) tersebut akan diberi pelepasan masa (time-off) dan perlu kembali semula ke stesen kuarantin untuk memenuhi tempoh wajib kuarantin. 

“Semua PUS tersebut dikehendaki mematuhi SOP yang ketat oleh KKM semasa tempoh ziarah atau lawatan ini. Sementara itu, kenderaan dan pengiring untuk lawatan tersebut diuruskan di stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata, sebagaimana sedia maklum, kebanyakan negara yang mempunyai akses kepada bekalan vaksin Covid-19 telah memulakan pemberian imunisasi kepada rakyat masing-masing sejak penghujung tahun 2020. 

“Namun begitu, lebih banyak maklumat dan kajian adalah diperlukan bagi melihat kesan vaksin Covid-19 seperti dalam mengurangkan penularan jangkitan oleh penerima vaksin dan tempoh imuniti seseorang yang telah menerima vaksin Covid-19.  

“Justeru, pihak WHO belum lagi mengesyorkan vaksin Covid-19 boleh digunakan sebagai pasport imuniti (immunity passport) bagi sebarang perjalanan. Oleh itu, pengembara yang telah mempunyai bukti penerimaan vaksin juga tidak terkecuali daripada keperluan untuk mematuhi sebarang langkah-langkah pencegahan jangkitan  yang ditetapkan termasuk menjalani kuarantin wajib,” katanya.  

Katanya, KKM telah memutuskan pada 12 Mac 2021 bahawa penilaian risiko perlu dilaksanakan terhadap pengembara yang telah mendapat imunisasi Covid-19 yang lengkap dan dalam masa yang sama memohon untuk pengecualian kuarantin di stesen kuarantin. 

Beliau berkata, bagi pengembara yang memenuhi kriteria, mereka boleh diberi kelonggaran untuk menjalani perintah kuarantin wajib di tempat kediaman namun tertakluk kepada syarat-syarat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan semasa dalam tempoh kuarantin ini bagi memastikan jangkitan tidak menular kepada orang lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here