Nurul Huda Abhar
KERAJAAN Malaysia masih menunggu keputusan rasmi daripada Arab Saudi berkenaan keperluan pemberian vaksin Covid-19 untuk jemaah haji, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin
Katanya Jawatankuasa Kecil Penilaian Permohonan Akses Awal Vaksin Covid-19 telah mengesyorkan untuk menyokong pemberian vaksin kepada permohonan yang diluluskan Lembaga Tabung Haji (TH) mengikut jadual setelah mendapat keputusan rasmi kerajaan Arab Saudi.
“Buat masa ini kita masih tidak dapat keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan keperluan pemberian vaksin Covid-19
“Apabila kita dapat ketetapan bahawa ia adalah wajib, maka kita akan bekerjasama dengan TH untuk melihat kepada senarai yang diluluskan untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun ini
“Ini supaya mereka (jemaah haji) diutamakan dalam pemberian vaksin,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu ketika sidang media Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menerusi aplikasi Zoom yang disiarkan secara langsung di Facebooknya, hari ini.
Mengulas berkenaan jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 yang masih sedikit, Khairy berpendapat kerajaan masih tiada perancangan untuk melaksanakan pemberian vaksin dari rumah ke rumah.
Katanya, ini kerana kerajaan masih berpendapat bahawa program imunisasi tersebut adalah program sukarela.
“Ia akan hantar mesej yang agak mengerikan sekiranya ada orang ketuk pintu siap dengan syringe (picagari) dan jarum.
“Kalau kita hantar pemberi vaksin ke rumah takut mereka tidak buka pintu. Bagi saya kita mulakan dulu dengan pendaftaran rumah ke rumah,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata sekiranya didapati individu yang sudah mendaftar memang menghadapi kesukaran untuk pergi ke pusat pemberian vaksin, maka vaksinator akan dihantar untuk memberikan suntikan.
“Sebagai contoh pesakit terlantar yang tidak boleh bergerak ke mana-mana maka kita akan hantar vaksinator kepada golongan tersebut.
“Tetapi saya yakin golongan itu tidaklah ramai sangat. Saya rasa sebahagian besar dapat pergi ke pusat pemberian vaksin,” kata beliau. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/29/vaksin-covid-19-suntikan-fasa-kedua-bermula-19-april-khairy/
