HSR : Malaysia bayar pampasan RM320 juta kepada Singapura

0
1

SEBANYAK SG$102.8 juta (RM320.27 juta) akan dibayar oleh Malaysia kepada Singapura bagi kos yang ditanggung membabitkan pembangunan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) serta berkaitan dengan lanjutan penangguhannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Pengangkutan Singapura dalam kenyataan bersama hari ini, berkata kedua-dua negara mencapai persetujuan berhubung jumlah itu susulan proses verifikasi yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia.

“Jumlah tersebut juga mewakili penyelesaian penuh serta akhir berkaitan pembatalan Perjanjian Dua Hala bagi projek HSR pada 31 Disember 2020,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia dan Singapura turut menegaskan untuk kekal komited terhadap usaha memelihara hubungan baik serta menjalin kerjasama erat bagi kepentingan bersama rakyat masing-masing.

Tuntutan pampasan berkenaan dikenakan terhadap Malaysia, selepas perjanjian Projek HSR antara kedua-dua negara itu terbatal selepas cadangan perubahan kontrak gagal dipersetujui.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong, melalui kenyataan bersama memaklumkan cadangan perubahan itu dikemukakan Malaysia susulan impak Covid-19 dan kedua-dua negara sudah pun mengadakan beberapa rundingan, namun tiada persetujuan dicapai.

Dengan itu, katanya perjanjian HSR tamat tempoh pada 31 Disember 2020. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here