BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) Johor akan membincangkan hala tuju kerjasama dengan Umno negeri itu, esok dan Rabu ini.
Kedua-dua mesyuarat akan dipengerusikan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian.
Osman yang juga Ahli Jawatankuasa PN Johor berkata kedua-dua mesyuarat diadakan susulan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Hasni Mohammad pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) semalam.
Beliau berkata kenyataan Hasni yang juga Menteri Besar Johor di pentas PAU disifatkan bukan sahaja menghina Muhyiddin selaku Perdana Menteri, malah memperkecilkan Bersatu yang memberi sokongan kepadanya bagi menubuhkan kerajaan negeri tahun lalu.
Katanya, mesyuarat Bersatu Johor dijadual berlangsung malam esok dan disertai 26 ketua bahagian, manakala mesyuarat PN Johor pula lusa.
“Keputusan sama ada kerjasama dengan Umno Johor akan diteruskan bakal ditentukan kepimpinan selepas kedua-dua mesyuarat berkenaan.
“Kami ahli akar umbi Bersatu Johor sangat kecewa dengan kenyataan terbuka Hasni yang bukan sahaja tidak beralas terhadap Muhyiddin malah penuh keegoan.
“Umno Johor mungkin terlupa dengan sokongan Bersatu Johor yang membolehkan parti itu dapat menubuhkan kerajaan negeri. Esok-esok, jangan datang mengemis simpati dan melutut lagi pada kami, macam dia buat dahulu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Semalam, Hasni dilaporkan berkata, Umno Johor perlu diberi autonomi untuk menentukan strategi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Malah Hasni berkata, biarpun Umno Johor sebelum ini bercadang memberi laluan kepada Muhyiddin untuk terus bertanding di Pagoh, beliau berkata, sokongan terhadap Perdana Menteri jauh lebih rendah berbanding sokongan terhadap Umno. – Malaysiapost

