Ku Li saran menteri, timb menteri dan pengerusi GLC keluar kerajaan PN sekarang

0
3

SEMUA menteri dan timbalan menteri daripada Umno mesti menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta, bersama pemimpin parti yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Saranan itu dibuat Tengku Razaleigh Hamzah susulan penegasan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bersatu dan DAP.

“Saya rasa ucapan itu bagus, bernas dan tegas. Seolah-olah dia (Zahid) bukan sahaja respon, tetapi menerima cadangan daripada bahagian-bahagian yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan.

“Dan dia menegaskan sekali lagi, apa yang diputus oleh Majlis Tertinggi (MT), bahawa kita akan putus kerjasama dgn Bersatu.

“Ini juga bererti, semua ahli Umno yang jadi menteri, timbalan menteri dan yang pegang jawatan pengerusi GLC, mesti tarik diri. Kalau boleh hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada Ucapan Dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2020 di PWTC Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Tengku Razaleigh berkata ia dibuat kerana BN yakin boleh menang, malah sebelum ini pun sentiasa bertanding sendirian.

“Kalau tak yakin macam mana kita nak bertanding? Memanglah (yakin menang). Sebelum ini pun kita bertanding solo,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata ketika ini penerimaan rakyat terhadap BN begitu baik cuma belum berkempen sehingga ke akar umbi dan ia perlu diperhebatkan.

Ditanya adakah keputusan Umno bertanding sendirian menggunakan logo BN akan membuatkan PAS berkecil hati, beliau berkata ia terpulang kepada parti tersebut.

“Kita bersama dia (PAS) dalam Muafakat Nasional (MN) tetapi selepas kita buat keputusan tarik diri daripada PN, dan menteri kita akan berhenti bersama timbalan menteri dan pengerusi GLC, kita tiada kena mengena lagi dengan PN.

“Oleh kerana itu, kita akan melawan. Kalau PAS masih ada di situ, kita lawanlah dia. Apa nak buat. Tetapi kalau dia bersama dengan kita, menerusi MN, dia mesti asing daripada PN,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here