SUARA akar umbi akan menentukan hala tuju Umno termasuk kerjasama politik dengan parti lain, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Najib, baginya tiada pendapat yang lebih penting daripada apa yang disuarakan akar umbi parti tersebut.
Najib yang juga bekas Presiden Umno menyatakan jika dahulu parti itu dilempar pelbagai kata-kata nista, namun kini Umno cuba ‘dipinang’ oleh parti lain.
“Semua ternanti-nanti apa arah tuju Umno. Ahli-ahli Umno rakan seperjuangan saya, agak pelik bagi Kita tahun ini.
“Jika dahulu pelbagai kata-kata tidak elok dilemparkan kepada Umno, hari ini macam-macam pihak nak masuk meminang Umno,” katanya dalam perutusan khas sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang akan berlangsung esok.
Ucapan tersebut disiarkan secara langsung di Facebooknya, petang tadi.
Beliau turut memaklumkan pelbagai usul dikemukakan bagi mengambil kira suara dan pendapat akar umbi serta masyarakat setempat dalam mesyuarat Umno bahagian yang diadakan baru-baru ini
“Kita patut tanya apakah yang kita mahukan untuk parti. Apakah langkah untuk menghapuskan rancangan licik parti tertentu yang mahu memusnah dan menggantikan Umno,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu kini tiada hala tuju dari segi pembangunan dan kepimpinan ekonomi, sehinggakan sektor ekonomi negara khususnya perniagaan berada dalam keadaan sukar ketika ini.
“Malangnya keadaan tidak berubah hari ini, tidak ada hala tuju pembangunan, tiada kepimpinan ekonomi, tidak ada tindakan pemulihan.
“Seolah-olah kita rakyat diminta bersyukur, terima nasib dan redha dengan keadaan semasa,” katanya lagi. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

