PIHAK berwajib digesa memaklumkan mengenai perkembangan terkini penularan wabak Covid-19 di sekolah yang kini semakin membimbangkan.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ‘perutusan khas’ pada ketika ini adalah amat diperlukan oleh ibu bapa, murid dan guru bagi mendapatkan pencerahan mengenai situasi sebenar.
Menurutnya, selepas beberapa hari sekolah kembali dibuka sudah ada kes jangkitan Covid-19 dilaporkan membabitkan guru dan murid.
Beliau berkata, ia perkembangan yang agak merungsingkan ramai pihak terutama dalam kalangan ibu bapa.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka, Tampoi di Johor dilapor ditutup sehingga 25 Mac ini. Ia selepas tiga murid, seorang guru dan seorang kakitangan sekolah itu dikatakan sah positif Covid-19.
“SK Bukit Jenun di Kedah pula ditutup bermula Jumaat lalu sehingga satu tarikh yang belum ditetapkan. Ia selepas seorang guru di sekolah itu disahkan positif Covid-19.
“Tetapi belum ada sidang khas oleh pihak berwajib bagi memperjelaskan tentang perkembangan yang agak membimbangkan itu kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ibu bapa perlu tahu tentang tahap keselamatan anak-anak mereka di sekolah susulan dua insiden tersebut.
“Mereka perlu tahu adakah prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di sekolah masih mencukupi untuk mencegah jangkitan Covid-19 atau memerlukan penambahbaikan?
“Mereka mahu tahu sama ada jangkitan Covid-19 yang berlaku di dua sekolah itu dari dalam atau luar sekolah?,” soalnya.
Katanya lagi, ibu bapa khuatir perkara sama boleh berlaku di sekolah anak mereka dan paling menggusarkan tentang keselamatan Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang dikategorikan sebagai kanak-kanak berisiko.
“Saya pula bimbang andai insiden di dua sekolah itu dianggap terpencil dan tidak signifikan untuk diambil berat oleh pihak yang berkenaan.
“Walaupun cuma terjadi di dua sekolah setakat ini, hal keselamatan dan kesihatan tiada kompromi. Jangan sesekali ‘take for granted’,” katanya.
Menurutnya, tiada istilah isu terpencil dalam soal keselamatan kerana setiap nyawa adalah berharga dan konsep ‘the greater good’ tidak terpakai dalam perkara ini.
“Menjaga nyawa maqasid syariah. Maka pihak berwajib wajib menjamin sepenuhnya keselamatan murid-murid kita walau dalam apa cara,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/24/guru-murid-positif-covid-19-sekolah-di-ketereh-ditutup/

