PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) kali ini wajar menjadi medan terbaik untuk ahli Umno menyuarakan pandangan kepada pucuk pimpinan agar parti itu terus kekal relevan berjuang demi rakyat.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa parti itu merupakan organisasi teraju kepimpinan penting adalah induk kepada politik negara.
“UMNO mesti berupaya untuk mengupas, UMNO mesti berupaya untuk mengulas dan meneliti sehalus sebaik mungkin politik tanah air semasa.
“Ini suara ahli, suara ahli yang dibawa oleh perwakilan dan akan dibahaskan dangan baik dan di situ nanti parti akan mengolah dan akan menyusun strategi-strategi untuk UMNO.
“Membuat keputusan-keputusan yang akhirnya akan memberikan keuntungan kepada parti dan kebaikan kepada rakyat, orang Melayu khususnya dan juga negara kita,” katanya dipetik daripada portal Umno Online.
Menariknya PAU kali ini, Mohamad berkata, pastinya menjadi tumpuan orang ramai terutama kepada ahli parti yang tentunya mahu mengetahui pendirian Umno dalam senario ketidaktentuan politik negara ketika ini.
“Politik semasa ini berubah-ubah dan ia menjadi pelbagai setiap hari, menjadi topik utama perbicangan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohamad turut berpesan kepada perwakilan yang hadir untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
“Jadi saya harap kepada semua perwakilan akan datang dan memberikan kerjasama yang baik.
“Supaya Umno dilihat sebagai sebuah organisasi yang patuh kepada SOP yang telah disusun atur oleh Majlis Keselamatan Negara,” kata Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan itu. – Malaysiapost.

