KETUA Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad terlalu ghairah untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sehingga terdesak menyalahkan orang lain terutama Tun Dr Mahathir Mohamad bagi setiap kesalahan PKR.
Presiden Penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga berkata, beliau mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Nik Nazmi menyalahkan Dr Mahathir berhubung penyertaaan Ahli Parlimen Umno dalam Pakatan Harapan (PH).
Mukhriz berkata, perjuangan politik Dr Mahathir adalah untuk berbakti kepada negara dan menentang ketidakadilan serta penindasan ke atas rakyat.
“Hakikat yang tidak boleh disangkal ialah di sebalik pelbagai rintangan, Pakatan Harapan yang diterajui Tun Mahathir menang pada PRU14.
“Kepimpinan beliaulah yang menyatukan semua pengundi yang sudah jelak dengan kleptokrasi Najib Razak. Yang lebih ketara bilamana ramai pengundi Melayu yang lazimnya mengundi UMNO kali ini memilih pimpinan Tun Mahathir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, Nik Nazmi seharusnya berlaku adil dalam membuat tuduhan terhadap Dr Mahathir kerana setiap kenyataannya kelihatan bercanggah daripada hakikat sebenar.
“Nik Nazmi sendiri bercanggah dalam kecamannya terhadap kepimpinan Tun Mahathir kerana punca sebenar Ahli-Ahli Parlimen dalam UMNO yang tidak terkait dengan kes mahkamah begitu beriya hendak menyertai Pakatan Harapan melalui Bersatu adalah kerana PH menang dan berjaya menjatuhkan kerajaan Najib.
“Kita menang secara sah, tidak seperti pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memerintah secara menabur habuan tetapi menghukum jika tidak dapat apa yang dihajati demi untuk kekal berkuasa,” katanya.
Katanya, tuduhan bahawa Dr Mahathir membuat keputusan secara unilateral tanpa mengendahkan kerangka PH dan mengecam Buku Harapan juga didifatkan sebagai ‘tidak kena’.
“…. tetapi pada masa yang sama, anda mengatakan PH mencapai ‘banyak kejayaan dalam waktu yang singkat, dalam tempoh 22 bulan’, dengan berpandukan kepada aspirasi dan halatuju yang terkandung dalam Buku Harapan.
“Yang mana satu? Adakah anda bermaksud bahawa walaupun kepimpinan Tun Mahathir dikatakan pincang, kerajaan sebelum ini berjaya melaksanakan tanggungjawabnya, dan kegagalan semuanya disebabkan oleh Tun Mahathir seorang?,” katanya.
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, sepatutnya pelantikan menteri yang melibatkan pemimpin daripada ‘puak’ yang bertelingkah dalam PKR diselesaikan secara dalaman.
“Namun, kenapa Tun Mahathir yang dipersalahkan, seolah-olah beliau memihak kepada kumpulan tertentu apabila melantik pemimpin-pemimpin kanan PKR sebagai anggota Kabinet?
“Saya tegaskan kepada anda sehingga ke hari ini, Tun Mahathir terus menentang korupsi dan jelas sekali, beliau langsung tidak meraih manfaat dari Langkah Sheraton yang melibatkan Ahli-Ahli Parlimen yang digugurkan dari PKR serta bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, Mukhriz mencabar Nik Nazmi untuk mendedahkan inidvidu yang menikmati ‘ganjaran’ sekiranya benar wujud unsur suapan yang menyalahi undang-undang atau etika ketika pemerintahan PH.
“Dulu saya merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Keahlian Bersatu yang diamanahkan untuk menilai permohonan keahlian dan menapis individu-individu bermasalah.
“Walaupun saya telah menyuarakan bantahan berkenaan kemasukan beberapa Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggunakan kuasanya sebagai Presiden untuk menolak cadangan saya kepada Majlis Presiden Bersatu.
“PKR tidak patut berpura-pura, kononnya pemimpin-pemimpinnya ikhlas dan budiman semasa PH berkuasa. YB Datuk Che Abdullah Mat Nawi dari Parti Islam Se-Malaysia telah mendedahkan bahawa Anwar telah cuba mendapatkan sokongan PAS untuk undi tidak percaya terhadap Tun Mahathir ketika PH masih kerajaan. Itu tindakan menikam dari belakang,” katanya.
“Dengan ini, saya mengecam sebarang andaian mahupun dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad pada bila-bila masa, telah melakukan kesalahan atau bertindak tanpa etika, termasuk ketika Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu dan Pakatan Harapan,” katanya.
Baru-baru ini, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa mendakwa budaya membeli ahli Parlimen supaya melompat parti yang diamalkan Perikatan Nasional (PN) dipelajari daripada Dr Mahathir.
Beliau dilaporkan berkata, bekas perdana menteri itu menggunakan kaedah sama agar ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu ketika PH menguasai Putrajaya. – Malaysiapost

