HUBUNGAN Umno dengan Bersatu boleh diibaratkan seperti penceraian taklik yang hanya menunggu masa sahaja untuk bercerai jika syaratnya terlaksana.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua ahli Umno perlu mempertahankan ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu bahawa kerjasama politik bersama Bersatu akan terhenti sebaik sahaja Parlimen dibubar.
“Seterusnya keputusan MKT adalah kerjasama antara kita dengan Bersatu dari segi parti diputuskan apabila Parlimen dibubarkan dan ini ‘clear’. Saya rasa tidak ada siapa yang mempertikaikan dari segi keputusan MKT.
“Maknanya kita ni macam ‘cerai taklik’…apabila bubar parlimen jatuh talak kita…jadi kita dah menjelaskan daripada awal bahawa hubungan kita terputus secara automatik apabila Parlimen dibubarkan.
“Setiap ahli parti dan MKT, malah saya sebagai Naib Presiden tentu sahaja akan mempertahankan keputusan yang dibuat MKT dan daripada segi disiplin parti kita perlu patuh kepada setiap keputusan yang dibuat oleh MKT. Inilah keputusan yang kita pegang sehinggalah pilihan raya,” katanya yang dipetik daripada portal Umno-Online, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Pertahanan) sekali lagi menegaskan, Umno kekal dengan pendirian untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) selain menolak menjalinkan kerjasama dengan PKR pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Katanya, Umno kekal untuk fokus dengan ketetapan yang diputuskan oleh MKT parti itu untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan akan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaik sahaja Parlimen dibubar.
Tambah Ahli Parlimen Bera itu, Umno tetap teguh dengan prinsip ‘No PKR, No DAP’ dan tidak sesekali akan mengadakan rundingan dengan mereka.
“MKT dah buat beberapa keputusan dan saya ingin mengulang kembali pertamanya kita akan menggunakan lambang BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) nanti…maknanya walaupun kita dengan Muafakat Nasional (MN) atau sebagainya kita akan menggunapakai lambang BN.
“Keduanya ‘No PKR, No Dap’. Ini juga merupakan keputusan MKT dan hari ini ditekankan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya mengatakan Umno tidak akan berunding dengan PKR untuk menghadapi pilihan raya dan saya kira pun selepas pilihan raya mungkin itulah keputusan kita.
“Ketiganya keputusan MKT meneruskan kerjasama dengan kerajaan PN dan terus menyokong sehingga pilihan raya. Itu jelas dari segi kerajaan. Dari segi menteri dan Ahli Parlimen kita yang berada di dalam kerajaan hari ini terus menyokong kerajaan sehingga pilihan raya,” katanya. – Malaysiapost

