‘Gerrymandering’ dicadang PAS, cabul sistem demokrasi – AMK

0
1

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menolak cadangan PAS untuk melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disifatkan sebagi bibit manipulasi terhadap sistem demokrasi negara.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Ketuanya, Akmal Nasir dan Setiausa AMK, Shukri Razab bahawa ia adalah kenyataan politik yang sama sekali tidak mencerminkan tujuan sebenar persempadanan semula kawasan pilihan raya diadakan.

“Istilah kononnya ini menguntungkan Melayu-Islam hanyalah sekadar dakyah politik untuk mengaburi mata rakyat kerana hakikatnya ini adalah gerrymandering bagi memberikan keuntungan politik kepada PAS dan sekutu mereka.

“Kali terakhir Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 28 Mac 2018 dan mengikut Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, tempoh mestilah tidak kurang daripada lapan tahun antara tarikh siapnya satu kajian semula, maka persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya boleh diadakan pada tahun 2026,” kata kenyataan itu.

AMK berkata, sejak kebelakangan ini tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat begitu membimbangkan dan mengancam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Katanya, satu daripada tiga cabang utama negara iaitu Parlimen masih digantung dan gagal berfungsi sepertimana yang sepatutnya.

“Ini membuka ruang kepada manipulasi sistem demokrasi dan pentadbiran negara yang lebih kritikal serta berpotensi menjerumuskan Malaysia kepada krisis demokrasi yang serius.

“Bibit manipulasi itu semakin ketara dengan kenyataan YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin, Menteri Kabinet merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mencadangkan agar persempadanan kawasan pilihan raya dilaksanakan sekiranya memenangi majoriti 2/3 pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Kononnya ini demi memberi keuntungan kepada Melayu-Islam,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata, perkara itu agak mendukacitakan kerana PAS yang suatu ketika dulu begitu lantang membantah ‘gerrymandering’ .

“Ini kerana ia jelas mempunyai agenda menguntungkan kerajaan semasa serta bertentangan dengan prinsip keadilan (PAS) begitu cepat berubah apabila peroleh kuasa dengan kini mencadangkan perkara yang sama.

“Sudah pasti ini merobek harapan rakyat untuk melihat suatu sistem demokrasi yang telus dan adil di Malaysia selepas ianya dicabuli melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat sewaktu Langkah Sheraton yang lalu,” katanya.

Justeru, AMK menggesa agar sebarang usaha persempadanan semula kawasan pilihan raya ini dihentikan dan menyeru supaya PN terlebih dahulu menyelesaikan isu UNDI18.

“Selain itu, PN disaran menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang membenarkan Parlimen bersidang walaupun dalam waktu darurat,” katanya.

Terdahulu, PAS menyasarkan untuk menguasai dua per tiga Dewan Rakyat dalam PRU15 nanti agar parti itu – bersama gabungannya – dapat melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Menganggap langkah itu untuk menguntungkan, Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan laluan untuk mencapai impian itu ialah dengan mereka terus memperkukuh muafakat antara tiga parti Melayu walaupun tugas itu berdepan dengan rintangan.

“PAS melihat keperluan jangka masa panjang untuk memenangi PRU ke-15 dengan majoriti dua pertiga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here