Tertekan pedal minyak, 2 beranak lemas kereta terjunam tasik

0
1

DUA beranak lemas selepas kereta Proton Persona dinaiki terjunam ke dalam tasik Lake Resort di Serdang, Bandar Baharu, Kedah lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur, berkata kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang membabitkan wanita warga emas Hasmah Mat Isa, 69, dan anak perempuannya Noraiza Hashim, 28.

“Siasatan awal mendapati, kereta itu berada di kawasan pakir Tasik Lake Resort, pemandunya dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke depan lalu meluncur masuk ke dalam tasik.

“Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan sebelum lemas,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurutnya, susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari balai Serdang dengan dibantu oleh balai Selama, Perak dan Pasukan Penyelamat Di Air dari Sungai Petani.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata mayat Hasmah dibawa keluar oleh pada 8.40 malam manakala mayat anaknya kira-kira 10 minit kemudian.

“Kereta Proton Persona itu dibawa naik ke permukaan pada 11 malam tadi,” katanya.

Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here