Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara – Muhyiddin

0
1

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada pemain perseorangan lelaki badminton negara Lee Zii Jia yang menjuarai kejohanan All England, malam tadi.

Menurutnya, seluruh peminat sukan negara, khususnya badminton tentunya begitu teruja dengan kejayaan Zii Jia menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelson.

“Kejayaan ini sudah tentu memberi makna besar dan suntikan motivasi buat pemain muda negara berusia 23 tahun ini selepas ditewaskan oleh pemain yang sama di peringkat separuh akhir kejohanan ini, tahun lepas.

“Lebih manis Viktor Axelson adalah juara bertahan bagi kejohanan ini. Syabas sekali lagi buat Lee Zii Jia,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Beliau berharap kejayaan itu mampu menjadi perangsang buat pemain muda berkenaan untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Perjalanan karier anda masih jauh. Tahniah juga kepada BAM dan barisan kejurulatihan atas kejayaan ini.

“Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara,” katanya.

Terdahulu, Zii Jia mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran juara All England bagi perseorangan lelaki buat kali pertama selepas menundukkan Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.

Kejayaan Zii Jia membolehkannya naik ranking ke-10 dunia daripada ke-16 dan menamatkan penantian selama empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai AS$59,500 (RM244,344). – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/21/zii-jia-juara-all-england/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here