APA sahaja alasan diberikan Tan Sri Annuar Musa mengenai desakan jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu diberi kepada Umno, tidak menjadi perkara penting lagi.
Ini kerana menurut veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, telahan siapa yang mengidamkan jawatan nombor dua tertinggi dalam Kabinet kerajaan itu bukan lagi rahsia, susulan pendedahan oleh Umno Ketereh.
“Soal ‘siapa sebenarnya minta jawatan TPM’ sudah tidak penting lagi apabila Jawatankuasa Umno Bahagian Ketereh sudah putuskan untuk meminta PM segera melantik Timbalan Perdana Menteri dari kalangan pemimpin BN serta-merta,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Shahrir dengan sinis berkata, rahsia siapa sebenarnya yang mengidam jawatan Timbalan Perdana Menteri diperkuatkan lagi dengan kenyataan Jawatankuasa Umno Bahagian Ketereh agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik dengan segera.
“Dah ‘segera’, ‘serta merta’ pula tu.
“Kerana ianya keputusan JK Umno Bahagian Ketereh, tentu ianya keputusan akar umbi Umno.
“Tapi tak semua akar umbi Umno melihat ianya isu utama,” katanya.
Shahrir berkata demikian susulan respon Annuar terhadap satu hantaran Facebook miliknya, semalam.
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno mendakwa Shahrir sebenarmya tidak tahu siapakah Ahli Parlimen Umno yang bakal dilantik menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. – Malaysiapost

