2 maut, 2 cedera ‘kren launcher’ hempap kereta

0
1

STRUKTUR pelancar sebuah kren (kren launcher) membabitkan satu projek pembinaan lebuh raya berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Alam Damai di Kuala Lumpur runtuh dan setakat ini dua dilaporkan maut serta dua lagi cedera.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, struktur besi pelancar kren berkenaan jatuh dan menghempap sebuah kereta.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada 8.45 pagi.

Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, Tun Razak dan Hang Tuah membabitkan 25 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut Ketua Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairul Azmi Jaafar, setibanya di lokasi pihaknya mendapati kejadian membabitkan struktur besi kren launcher pembinaan lebuh raya telah jatuh menghempap sebuah kereta Perodua Bezza.

“Kejadian membabitkan empat mangsa. Seorang warganegara Malaysia iaitu pemandu kereta mengalami kecederaan parah kerana kereta dihempap besi.

“Manakala tiga lagi mangsa adalah pekerja projek pembinaan dan dipercayai dua daripadanya terjatuh setinggi kira-kira 36 meter serta disahkan meninggal dunia,” katanya.

Mohd Khairul Azmi berkata, seorang lagi mangsa tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya dan kerja penyelamatan mangsa segera dijalankan oleh anggota bomba. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here