KERAJAAN menyifatkan tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan wujudnya gerakan sulit bagi menjatuhkan Ketua Polis Negara (KPN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya perkara itu akan diselesaikan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sepertimana dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri.
“Saya rasa tidak timbul masalah berkenaan sebagaimana disebut Menteri Dalam Negeri. Itu masalah dalaman yang hanya perlu dikendalikan oleh SPP. SPP ini dipengerusikan Menteri Dalam Negeri dan KPN pun ahlinya.
“Bagi saya tiada masalah besar pun untuk menyelesaikan perkara ini. Serah saja kepada SPP,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.
Beliau membuat kenyataan tersebut pada sidang media selepas program Malaysia Prihatin sesi bersama pegawai kerajaan negeri Kelantan dan Persekutuan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Terdahulu, KPN Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan sekelompok pegawai dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba mencaturkan keadaan dan mencemar imejnya dengan tujuan menjatuhkannya.
Dakwanya, gerakan sulit itu akan ditangani dengan sewajarnya sebelum menjadi lebih parah kerana kumpulan itu mahu menguasai semua jawatan utama dalam PDRM demi kepentingan peribadi.
Susulan itu, Presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas berkata, RCI sangat diperlukan untuk menyiasat dakwaan Abdul Hamid bahawa ada kartel dalam pasukan polis yang bersekongkol mahu menyingkirkannya.
“Tuduhan seperti itu mengejutkan dan sangat mengikis kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.
“Oleh itu, Badan Peguam Malaysia menggesa siasatan segera berhubung kenyataan KPN melalui penubuhan RCI bebas untuk menangani isu ini.
“Siasatan yang telus dan bebas harus dilancarkan tanpa berlengah-lengah untuk menentukan kebenaran dakwaan yang membimbangkan, dan memastikan integriti PDRM terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini dilaporkan berkata Abdul Hamid boleh mengemukakan laporan kepada SPP agar perkara itu disiasat. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
