VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad beranggapan tanda tanya mengenai isu yang mendakwa Umno inginkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kini terjawab dengan pendedahan dibuat Umno Ketereh.
Beliau secara sinis menyatakan perkara itu sebenarnya dibangkitkan oleh Umno Ketereh yang diketuai bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa.
“Sekarang baru saya tahu punca cerita Umno nak sangat jawatan TPM. Ia suara akar umbi Ketereh rupanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, empat cadangan yang dibuat Umno Ketereh itu adalah perancangan Annuar bersama timbalannya Datuk Md Alwi Che Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.
“Seronok saya lihat satu jawatankuasa bahagian Umno Ketereh menyokong empat cadangan untuk tindakan Presiden Umno Malaysia.
“Dua cadangan yang teratas dalam surat itu boleh dibawa YB Dato Alwi, Timbalan Ketua Bahagian Ketereh yang juga duduk dalam Majlis Tertinggi Umno.
“Dua cadangan yang lain – pelantikan TPM dan usaha berfokus kerajaan PN – boleh TS Annuar Musa diwakilkan oleh JK bahagian UMNO Ketereh untuk dibawa ke pertimbangan TS Muhyiddin dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Menurutnya, Annuar boleh membangkitkan perkara itu kerana beliau hadir dalam mesyuarat Kabinet setiap Rabu
“Jadi, boleh berpakat saja antara ketua dan timbalan ketua bahagian Ketereh,” katanya. – Malaysiapost

