Cegah bohong, selamat dunia akhirat

0
1
KUALA TERENGGANU 26 JANUARI 2019. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang semasa sidang media selepas menyampaikan Ucaputama dan Perasmian Program Simposium Seni & Hiburan Menurut Islam anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) di Dewan Teater, PPAT, Padang Hiliran. NSTP/IMRAN MAKHZAN

PENYEBARAN berita bohong kini menjadi lumrah dalam masyarakat dan lebih malang lagi, apabila masyarakat hari ini menyukai pembohongan dan mempertahankannya, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Menurutnya, Islam mengajar bahawa berbohong termasuk dalam musibah yang akan mengakibatkan kesan buruk. 

“Penyebar berita bohong menjadi seorang yang fasik. Bahaya perbuatan tersebut akan membawa keburukan kepada masyarakat umum dan pelakunya pula akan menyesal di dunia dan akhirat.

“Seorang yang fasik berdasarkan hukum Islam, tidak layak menjadi saksi dalam perbicaraan mahkamah, bahkan tidak layak menjadi hakim ataupun pemimpin masyarakat,” katanya dalam Minda Presiden PAS yang dikongsi di Facebook hari ini. 

Ahli Parlimen Marang itu berkata, seseorang yang berbohong dalam politik akan melakukan penipuan terhadap rakyat dengan apa sahaja propaganda bagi mendapatkan sokongan.

“Dalam aspek ekonomi pula, penipuan berlaku dalam bentuk barangan, jualan, hutang piutang dan perkara lain bagi mendapatkan keuntungan dan harta secara haram melalui pelbagai cara.

“Manakala dalam aspek sosial pula, terdapat mereka yang sanggup berbohong dengan menyebarkan berita sensasi semata-mata untuk melariskan berita yang menggemparkan dengan pemberitaan bohong,” katanya. 

Beliau berkata, perkara itulah yang berlaku pada zaman ini melalui media baru yang paling canggih sistem teknologi dan maklumat.

“Penyebaran berita bohong hanya di hujung jari yang digerakkan, tanpa mempedulikan berita yang tersebar itu menjadi fitnah yang menyesatkan dan merosakkan diri, keluarga dan masyarakat.

“Media terkini menjadi senjata baharu bagi merosakkan kefahaman masyarakat, demi mencapai matlamat dan cita-cita, khususnya bagi mendapatkan kuasa,” katanya. 

Menurutnya, keinginan manusia sepanjang zaman tidak pernah berubah sehingga tidak mempedulikan sempadan halal dan haram. 

“Khususnya bagi mempengaruhi rakyat dalam mendapatkan kuasa atau mempengaruhi orang yang berkuasa melalui cara yang melampau dengan berbohong. 

“Tanpa kisah melalui apa sahaja cara untuk berbohong, sama ada dengan lisan, tulisan atau tayangan yang dijadikan amalan bagi menggoda masyarakat. 

“Demi melakukan pembohongan, belanja yang besar dikeluarkan kerana peranan berita bohong itu sangat besar bagi mempengaruhi masyarakat. Terkini pula, diciptakan alat-alat berteknologi tinggi yang canggih, mahal harga dan mahal upahnya,” katanya. 

Abdul Hadi berkata, oleh kerana pembohongan itu adalah kemungkaran yang sangat besar, maka ia wajib dicegah mengikut kemampuan masing-masing. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here