Polis siasat Najib langgar SOP

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil memberi keterangan berhubung tindakannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika makan di sebuah restoran di ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Menurutnya, polis menjalankan siasatan mengenai video tular di media sosial yang memaparkan bekas Perdana Menteri itu dikatakan melanggar SOP PKPB. 

“Video tular itu mendakwa Datuk Seri Najib Razak tidak menjalankan imbasan suhu badan dan ‘check in’ MySejahtera apabila hendak memasuki Restoran Nasi Ayam Hainam Chee Meng, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Kesemua yang terlibat dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan.

Semalam, Najib melalui laman Facebooknya mengaku akibat kelalaiannya hingga terlupa mengimbas MySejahtera ketika makan di restoran berkenaan. 

Beliau meminta pihak berkuasa mengeluarkan kompaun terhadapnya kerana kecuaian tersebut.

“Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat ‘check-in’ sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian.

“Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini.

“Kompaun untuk tidak scan MySejahtera diumum sebagai RM1,500 dua hari lalu oleh Menteri PN. Saya bayar sebelum tempoh 7 hari dapat early bird diskaun 50 peratus iaitu denda RM750,” katanya.

Sementara itu, Najib menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi berkata beliau akan memberi kerjasama kepada polis untuk memberikan keterangan. 

“Sekurang-kurangnya pihak polis dapat mengenalpasti identiti saya sebab video HD,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/19/najib-akui-terlupa-check-in-mohon-disaman/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here