KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperkenalkan lesen khas perniagaan dalam talian, bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan peniaga dalam talian atau ‘scammer’.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata cadangan itu bakal mewajibkan setiap peniaga dalam talian untuk mendapatkan lesen khas berkenaan.
Justeru, katanya, pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 perlu dilakukan terlebih dahulu, sebelum lesen khas itu boleh dilaksanakan.
“Kita peka dengan peningkatan isu penipuan perniagaan dalam talian, Justeru, cadangan mewajibkan pemilikan lesen khas perniagaan dalam talian ini antara langkah efektif untuk memerangi masalah scammer atau penipuan jual beli dalam talian.
“Dengan mewajibkan pelaksanaan lesen perniagaan dalam talian kepada peniaga, ia bukan sahaja dapat menjamin kepentingan dan hak pengguna, tetapi juga dapat meningkatkan keyakinan pelanggan untuk berurus niaga.
“Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan reputasi peniaga dan simbol pengiktirafan serta piawaian kualiti entiti perniagaan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Anugerah Pilihan Pengguna anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Selangor di Putrajaya, hari ini.
Rosol berkata, menerusi lesen khas ini, peniaga akan tertakluk kepada syarat esen yang perlu dipatuhi, manakala pengguna pula dapat melakukan pembelian dalam talian tanpa ragu-ragu dengan kesahihan dan reputasi peniaga.
“Ini kerana kementerian dapat menguatkuasakan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang tidak beretika melanggar Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.
Dalam pada itu, Rosol berkata, mengikut rekod sehingga tahun lalu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendaftarkan sejumlah 355,676 pendaftaran perniagaan dalam talian.
Katanya, kementerian juga merekodkan peningkatan jumlah aduan mengenai transaksi dalam talian.
“Sepanjang 2020 sahaja, aduan mengenai transaksi dalam talian adalah yang paling tinggi diterima iaitu sejumlah 11,510 aduan.
“Daripada jumlah itu, sejumlah 7,797 aduan adalah kerana tidak menerima barang atau perkhidmatan yang ditawarkan.
“Berbanding pada 2019, kementerian menerima sejumlah 5,415 aduan mengenai transaksi dalam talian dengan 3,821 daripadanya adalah kerana tidak menerima barang atau perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Rosol berkata, melihat perkembangan itu, kementerian menyeru komuniti pengguna supaya mengambil sikap lebih berhati-hati dalam berurus niaga di dalam talian.
“Risiko penipuan trasaksi dalam talian boleh dielakkan dengan membuat semakan nombor akaun bank peniaga sebelum melakukan pemindahan wang.
“Sebagai contoh, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia sendiri mempunyai kemudahan laman web dan aplikasi dikenali sebagai ‘Semak Mule CCID’ untuk pengguna membuat semakan awal sebelum pemindahan wang dilakukan ke akaun bank peniaga.
“Semak nombor akaun bank atau nombor telefon peniaga berkenaan di aplikasi ini dan pengguna boleh dapat maklumat sama ada ia akaun bank atau nombor telefon yang selamat untuk berurusan atau scammer,” katanya. -Malaysiapost

