LIMA Ahli Parlimen pembangkang menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ‘tidak membina mahligai pasir’ dengan menjalinkan kerjasama politik bersama Umno.
Gesaan itu susulan kenyataan Anwar yang mengakui terdapat perbincangan awal dengan beberapa pimpinan Umno berhubung kerjasama politik parti itu dengan pembangkang, baru-baru ini.
Menerusi kenyataan hari ini, lima pemimpin pembangkang itu berkata, menawan semula Putrajaya dengan membina mahligai pasir yang besar dan cantik adalah tindakan sia-sia kerana ia mudah hancur dihempas ombak.
“Sebagai Ahli Parlimen, kami mahu membina semula negara ini dengan asas yang betul, kerana tanpa asas yang betul ia pasti akan runtuh juga.
“Kita harus belajar daripada pembentukan mahligai pasir Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina dari asas yang rapuh dan hanya mampu bertahan dengan ugutan berterusan serta resolusi parti Umno yang berubah-ubah.
“Jangan sampai kita menjadi seperti mereka. Kita tidak perlu mempertaruhkan kesemuanya untuk ke Putrajaya,” katanya kenyataa itu.
Kenyataan itu dibuat bersama Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Petaling Jaya,Maria Chin Abdullah.
Mereka berkata, sebarang kerjasama yang mahu diusahakan mesti bermula dengan perkara yang paling asas iaitu mempunyai agenda perjuangan yang sama dan kesungguhan untuk melakukan reformasi.
“Kerjasama yang mahu dibina mesti mempunyai satu cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama agar ianya dapat bertahan lebih lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, mereka percaya bukan sahaja kluster mahkamah, malah kepimpinan Umno hari ini dilihat tidak memiliki cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama yang diperlukan untuk membina semula negara.
“Kita telah bazirkan begitu banyak masa mempersoalkan mengenai bilangan Ahli Parlimen dan masih diheret dengan isu siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri.
“Selepas setahun pengkhianatan Langkah Sheraton yang menyakitkan, kami mahu terus bergerak ke hadapan. Kita tidak pernah kekurangan bakat di kalangan Ahli Parlimen Pembangkang,” katanya.
Menurut kenyataan itu, mereka mahukan pimpinan pembangkang untuk terus fokus menawarkan polisi yang boleh memenangi hati dan keyakinan rakyat Malaysia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Jangan sampai kita menjadi seperti mereka.Kita tidak perlu mempertaruhkan kesemuanya untuk ke Putrajaya,”katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/17/5-mp-pembangkang-sanggah-anwar-tolak-kerjasama-dengan-kleptokrat/

