POLIS mengesahkan menerima laporan seorang wanita berusia 20 tahun yang mendakwa dirinya telah dicabul oleh bapa kandungnya bergelar Datuk Seri, sejak 10 tahun dulu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis telah menerima laporan wanita warganegara tempatan itu pada 14 Januari lalu.
“Bapa kandung bergelar Datuk Seri cabul anak perempuan sendiri sejak tahun 2010. Polis terima arahan semalam dari Jabatan Peguam Negara untuk tuduh suspek di bawah Seksyen 354KK (cabul) dan Seksyen 509KK (aib).
“Pertuduhan ke atas suspek akan dilaksanakan pada 23 Mac 2021, jam lebih kurang 10 pagi di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur memandangkan keadaan kesihatan suspek yang tidak mengizinkan,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Saiful Azly, perintah perlindungan (PO) juga akan dipohon selepas pertuduhan dilaksanakan bagi melindungi mangsa dan adik beradik mangsa daripada sebarang ganguan oleh suspek.
“Sebelum ini mangsa menolak untuk mendapatkan perintah perlindungan interim (IPO) ini hanyalah untuk diri mangsa sahaja. Mangsa mahukan adik beradik beliau juga turut dilindungi,” katanya. -Malaysiapost

