BEKAS menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) sombong ketika tiada banyak ruang untuk mempersoal dan mengehadkan kuasa mereka kerana Parlimen tidak bersidang.
Beliau mendakwa walaupun kerajaan tahu denda RM10,000 kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 tidak wajar, mereka tidak sanggup mengubah Ordinan tersebut.
“Mereka kata buat rayuan kepada Pegawai Daerah Kesihatan. Kalau mereka kurang sombong apa salahnya tarik balik Ordinan tersebut dan buat peraturan baru yang lebih munasabah.
“Bila menteri kata, kita akan senaraikan apakah kesalahan yang dimaksudkan apabila rakyat didakwa di bawah Ordinan berita palsu, mengapa tidak sediakan dahulu butiran kesalahan sebelum Ordinan dikuatkuasakan?
“Mengapa tidak minta maklum balas dari orang ramai sebelum ia dikuatkuasakan. Ini semua sebab sifat sombong. Buat dulu fikir kemudian,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Zaid meminta semua pihak menghormati proses mahkamah yang melibatkan beberapa pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Ramai dalam dunia ini orang yang pada awalnya dianggap bersalah, tetapi akhirnya tidak bersalah. Sikap sombong inilah yang menyebabkan mereka mendahului keputusan mahkamah.
“Dalam parti kena serang bertubi-tubi, tunjuklah solidariti dan biarlah Zahid, Najib dan Ku Nan diberi penghormatan sebagai pemimpin.
“Kalau mereka rela diugut ataupun sanggup melaksanakan kehendak orang-orang tertentu, mungkin mereka tidak pun menjadi “Kluster Mahkamah”. Jangan lupa kluster di luar sana mungkin lebih bahaya kepada masa depan Umno,” katanya. – Malaysiapost

