PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melonggarkan kelayakan mengisi kekosongan jawatan konstabel tanpa perlu mendapat kepujian Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada bukan Bumiputera.
Beliau berkata, walaupun tindakan itu berniat baik dan objektifnya untuk menambah penyertaan golongan terbabit dalam PDRM, namun kelonggaran dalam kelulusan Bahasa Melayu boleh menimbulkan polemik.
“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi Bahasa Kebangsaan.
“Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi Persekutuan juga selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1966 (Akta 32).
“Bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Justeru, beliau berkata, kewajipan lulus Bahasa Melayu dalam apa jua perkhidmatan awam bertepatan dengan dasar memartabatkan bahasa kebangsaan.
“Sebab itu semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2017, kerajaan memutuskan syarat lulus Bahasa Melayu dalam pengambilan semua jawatan sektor awam di negara ini dikekalkan.
“Pada pandangan saya PDRM mungkin perlu memikirkan kaedah lain untuk menarik penyertaan bukan Bumiputera tanpa perlu menyentuh aspek bahasa,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, arahan PDRM untuk mewajibkan colan berkenaan menduduki semula subjek Bahasa Melayu dalam tempoh enam tahun perkhidmatan turut menimbulkan persoalan.
“Ini kerana jika gagal khidmat mereka akan ditamatkan. Selepas begitu lama berkhidmat dengan pengalaman yang ada akhirnya mereka diberhentikan.
“Bukankah lebih baik mereka diminta menduduki semula subjek Bahasa Melayu terlebih dahulu. Selepas lulus baru diambil berkhidmat,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya sejak dulu mengalu-alukan penyertaan bukan Bumiputera dalam pasukan itu, kerana penglibatan golongan berkenaan amat kurang.
Katanya, banyak faktor yang kerap diperkatakan mengenainya sebelum ini termasuk berhubung kadar gaji.
Baru-baru ini, PDRM pengumumkan warga Malaysia bukan Bumiputera yang layak kini boleh mengisi kekosongan jawatan konstabel dalam pasukan PDRM tanpa perlu mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peringkat SPM.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata kelonggaran syarat itu diberi bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac ini.
Kelonggaran syarat ini sebagai galakan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera menyertai PDRM kerana pasukan ini memerlukan khidmat mereka.
“Bagaimanapun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus dengan kepujian,” katanya. -Malaysiapost

