Harap Bob Sentuhan Busker tabah dalam mencari sesuap nasi – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia sejak tahun lalu ternyata menjejaskan ekonomi termasuk di Malaysia.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata wabak berkenaan merencatkan ekonomi negara terutama sektor pelancongan.

Menurutnya, sebagai contoh, Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang sebelum kehadiran Covid-19 ke negara ini, ia hidup dengan pelbagai kegiatan ekonomi.

“Kita tahu Bukit Bintang digelar Segi Emas di ibu negara kerana ia lubuk pelbagai kegiatan ekonomi yang meletakkan Bukit Bintang antara destinasi wajib dikunjungi ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya tahu itu berdasarkan pengalaman sebagai mantan Timbalan Menteri Pelancongan pada 2004 hingga 2006. Maka tidak hairanlah Malaysia diletakkan dalam kelompok 10 negara yang menjadi destinasi pelancongan di dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, pendapatan yang diraih melalui sektor pelancongan bukan calang-calang, buktinya Laporan Pencapaian 2019 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyebut seramai 20.1 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia sepanjang Januari hingga September 2019 yang menjana RM66.1 bilion.

“Selain aktiviti ekonomi dan tempat menarik, turut mencuri tumpuan adalah persembahan muzik jalanan seperti Sentuhan Busker dan Retmelo Busker yang amat dikenali oleh pelancong.

“Kegemilangan ini semuanya sebelum Covid-19. Pada saat ini, saya difahamkan Bukit Bintang tidak lagi seperti dahulu. Tidak banyak aktiviti dan suram. Mungkin disebabkan PKP ataupun kuasa beli yang terhad akibat kegawatan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, semasa PKP 1.0 dan 2.0 yang lalu, dikhabarkan banyak perniagaan ditutup kerana ketiadaan pengunjung, pemilik tidak mampu menanggung sewa yang tinggi termasuk bayaran gaji pekerja dan untuk mengembalikan semula suasana itu, ia memerlukan masa.

“Vaksin sudahpun dibawa masuk ke negara ini. Ramai antara barisan hadapan negara termasuk pemimpin kerajaan diberi suntikan. Berdasarkan laporan Bank Pusat England (BOE), mereka menjangkakan vaksinasi Covid-19 di negara itu akan membantu pemulihan pada akhir tahun ini.

“Kita juga begitu, mengharapkan kemasukan vaksin menyuntik semula perkembangan ekonomi negara. Dan kita harap ekonomi negara dapat dicorakkan semula. Apa yang penting turunkan kadar pengangguran,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengucapkan penghargaan buat kerajaan yang membenarkan pemuzik jalanan untuk beroperasi, namun keadaan semasa tidak sama seperti sebelumnya termasuk perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakkan sosial.

“Saya harap Bob Sentuhan Busker tabah dalam mencari sesuap nasi. Insya-Allah suatu masa nanti keadaan akan kembali normal,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2020/08/13/sukses-sifu-usahawan-peniaga-terjejas-covid-19-digesa-ambil-peluang/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here