Sektor pelancongan Langkawi mula rancak

0
2

Najamuddin Mohd Nor

SEKTOR pelancongan di Langkawi meningkat 10 hingga 20 peratus sejak kerajaan mengumumkan gelembung pelancongan bersasar antara negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu lalu.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah-Perlis, Eugene Dass, berkata pihaknya telah mengumpul data yang menunjukkan kerancakan sektor pelancongan di pulau lagenda itu kembali meningkat secara berperingkat.

“Setakat ini, MAH telah mengumpul data daripada hotel-hotel di Langkawi, ada peningkatan pelancong iaitu 10 hingga 20 peratus.

“Bagaimanapun ada beberapa hotel yang masih tiada peningkatan, mungkin pelancong masih belum bersedia kerana gelembung itu baru saja diumumkan,” katanya kepada Malaysiapost.

Eugene menjelaskan, terdapat beberapa faktor menyebabkan pelancong masih belum bersedia menjadikan pulau lagenda itu sebagai destinasi pilihan ketika ini.

“Kita menyambut baik langkah kerajaan yang memperkenalkan gelembung pelancongan bersasar di Langkawi, kita tahu ini bertujuan baik, dalam memerangi Covid-19, sektor pelancongan Langkawi mesti dipulihkan.

“Namun cabarannya masih belum dapat diterima oleh pelancong, ada sedikit kesukaran misalnya tak boleh datang sendiri ke Langkawi, mesti melalui agensi pelancongan.

“Ini satu proses yang belum biasa, dan pelancong yang ingin datang ke Langkawi kena melalui proses itu, menerusi agensi pelancongan yang ditetapkan kerajaan. Ia mengambil masa.

“Pastinya ada sedikit pertambahan kos, dan inilah antara cabarannya, tidak mudah seperti yang dijangkakan,” katanya.

Eugene menambah, ketika ini kebanyakan pelancong yang datang ke pulau itu adalah pelancong tempatan sekitar Kedah dan Perlis.

“Bila lagi rakyat Kedah dan Perlis nak menginap di hotel lima bintang di Langkawi, inilah masanya kerana rata-rata hotel menawarkan harga yang sangat murah sekarang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, MAH berharap kenaikan peratusan pelancongan di Pulau Langkawi terus meningkat, sekali gus dapat merancakkan ekonomi dan memulihkan sektor pelancongan yang suram sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Saya berharap peratusan ini terus meningkat, memang ada cabaran, tapi nak buat macam mana, kita perlu hadap.

“Cumanya saya nak ingatkan, patuhi segala SOP ditetapkan, ini mesti dan setiap hotel jangan leka pada SOP ini, kita mahu Langkawi bebas Covid-19,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan gelembung pelancongan bersasar dibenarkan antara negeri PKPP dengan syarat pergerakan secara persendirian tidak dibenarkan, selain menggunakan perkhidmatan agensi dan syarikat kenderaan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Setakat ini, kebenaran pergerakan ini tertakluk untuk tujuh negeri berstatus PKPP iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Labuan, Putrajaya dan Perlis serta turut terpakai kepada Langkawi yang ditukarkan dari PKPB kepada PKPP. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here